Jumaat, 11 April 2014

BELASUNGKAWA MENDALAM ATAS PEMERGIAN RAKAN-RAKAN SEPERJUANGAN

0 ulasan


Kawan Ahtie(Banglang)


Kawan Ahtie

Kawan Ahtie, warga Kgampung Perdamaian Banglang meninggal pada 23 Januari, upacara pengbumian diadakan di Yala, Thailand. Beliau telah menghabiskan hari hidupnya demi usaha revolusi ketika 86 tahun.

Ahtie, lahir pada 1929 di Teochew, China. Pada 1934. dia mengikut ayahnya berpindah ke Malaya dan tinggal di Gurun, Kedah. Setelah Jepun menduduki Malaya pada  1941, Ahtie menjadi penyampai maklumat dan kemudian menjadi perajurit Tentera Anti-Jepun. Setelah Jepun menyerah kalah, Tentera Anti-Jepun di-bubarkan, dia balik kampung menjadi rakyat  semula. 

 Ketika Perang Anti-British meletus pada 20 Jun 1948, dia masuk Tentera Pembebasan menjadi perajurit. 1951, dia menyusun lasykar rakyat di Gurun dan melakukan beberapa kali pertempuran. 1952 menyertai banyak kali pertempuran. 1953 menjadi ahli PKM. Dia pernah bertugas sebagai pengawal kepada Chin Peng, AhYan, Ah He, Abdullah C.D. dan Rashid Maidin.

Setelah Rundingan Baling 1955, dia menyertai banyak kali pertempuran. Dekad 1960-1970-an, dia bertugas dalam badan pengarah unit penyusun massa Kawsan Tiga; menyertai banyak kali pertempuran dan pernah luka parah. Setelah penandatanganan Persetujuan Damai Hadyai, beliau tinggal menetap di Kampung. Perdamaian Banglang dan menghabiskan hari tuanya. Dia adalah seorang pejuang revolusioner yang telah membaktikan seumur hidupnya kepada usaha parti dan  rakyat. 

 Kawan Jianqiang (K Lumpur)


Kawan Jianqiang 


Kawan Jianqiang meninggal pada 11 Februari, menghabiskan seumur hidup revolusionernya ketika 78 ta-hun. Upacara pengebumian diadakan pada 13 Februari.

Jianqiang (nama benarnya Zhou Yuzhen) lahir pada 1 Jun 1941 di Johor. Setelah bersekolah sampai darjah tiga dia berpindah ke Kuala Lumpur. Lepas kelulusan darjah 6 dia berhenti untuk bekerja dan menjadi ahli kesatuan buruh percetakan dan menyetai aktiviti Parti Buruh. Dekad 1970-an, pihak berkuasa bertindak menindas pergerakan progeresif, membuat dia terpaksa masuk hutan menjadi perajurit Tentera Pembe-basan, dan dipindahkan ke Pelatun Ke-5 Rejimen Ke-12 di daerah sempadan Malaysia-Thailand, di  sana dia mengikuti kursus perajurit baru. Setelah tamat kursus dia dipindahkan ke Kawasan Tiga untuk bertugas. 1980, dia dipindahkan ke Kawasan Khas dan bertugas hingga penandatanganan Persetujuan Damai Hadyai. Lepas itu dia berpidah ke Kampung Perdamaian Banglang dan giat menyertai kerja pembinaan kampung itu.

Jianqiang kembali di Malaysia pada Mei 1992 dan duduk menetap di Kuala Lumpur, dan menjadi penjaja makanan masak. Dengan bantuan dari kaum keluarga, sahabat dan usaha dirinya dia telah menetapkan asas ekonominya. Ketika Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 ditubuhkan, dia menjadi ahli seumur hidup dan aktif menyertai pelbagai aktiviti Persatuan.  

Setelah menghidap penyakit barah beberapa tahun lalu, dia menghadapinya dengan optimis dan bekerja terus, sehingga nyawa bernlainya diragus oleh penyakit barah.

Kawan Lei Mucheng (Banglang)

Kawan Lei Mucheng


23 Februari, Kawan Lei Mu-cheng meninggal dunia di Kampung Perdamaian Banglang, 84 tahun. Upacara pengebumian diadakan pada 25 Februari di Yala, Thailand. Ia telah menempuhi kehidupan  revolusionernya yang  ajaib. 

Beliau lahir pada Disember 1930 di China. Masa muda ia telah mengikut ibu bapa berpindah ke Singapura, setelah kelulusan sekolah menengah, dia menjadi guru  dan kemudian guru besar. Pada masa pelajar lagi dia telah menyertai aktiviti  Liga Anti-British. Dekad 1950-an, penjajah British menindas dan menangkap pelajar, guru dan aktivis progresif. Dia meloloskan diri dan bergerak di bawah tanah. Kemudian pihak organisasi memindahkan dia  ke Indonesia. Dalam masa belasan tahun di sana, dia pernah menjadi guru dan menjaja barangan   ke pelbagai rantau.

Dekad 1980-an, rejim Lee Kuan Yew menindas kekuatan kiri, Mu-cheng diberi tugas berat mengalihkan   kader-kader yang berisiko ditangkap, dia berjaya mengalihkan sejumlah kader ke Indonesia. 1964, dia membawa beberapa kawan pergi ke Utara Sumatera untuk mendirikan tumpuan utusan, tapi tertangkap dalam perjalanan dan dipenjarakan 3 tahun lebih.  Kemudian berjaya meloloskan diri dari penjara dengan cara menyuapi wader. Setelah keluar dari penjara, dia ditugaskan membuat kerja ekonomi. Setelah penandatanganan Persetujuan Damai Hadyai, menurut peraturan pihak organisasi, pada  tahun 1992, dia berpindah dan tinggal menetap di Kampung Perdamaian Banglang.  Ketika Syarikat Pelancungan Kampung Perdamaian itu ditubuhkan, dia dipilih menjawat  Pengerusi Lembaga Pengurus. Ketika  Persatuan Rekreasi Warga Emas ditubuhkan, dia dipilih menjawat Bendahari dan giat memberi sumbangan kepada aktiviti Kampung Perdamaian.   



Sumber: Buletin Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia, 30 Mac 2014,    Bilangan 31

Khamis, 27 Mac 2014

RASHID MAIDIN PULANG KE REJIMEN KE-10 – Abdullah C.D.

0 ulasan
Rashid Maidin bersama kader2 Kompeni Ke-23 Rejimen Ke-10

Rashid Maidin Sertai Revolusi Bersenjata

Selepas perkumpulan di Sekolah Parti Kem Se-Malaya, Rashid Maidin dan Kamarulzaman Teh tertangkap. Saya juga kena tangkap, tapi dapat segera melepaskan diri. Mei 1949, saya  menubuhkan Rejimen Ke-10. Pada tahun 1952, Rashid Maidin dapat melepaskan diri dari penjara dan bergabung dengan pasukan Melayu di Melaka, kemudian bergabung pula dengan Rejimen Ke-10. Kamarulzaman Teh mendapat murah hati DYMM Sultan Pahang yang membatalkan hukuman gantung menjadi penjara seumur hidup. Pada tahun 1962 beliau dibebaskan dan menyertai Partai Rakyat Malaya.

Pada suatu hari dalam tahun 1952, rombongan utusan membawa surat dari Chen Ping yang memberitahu bahawa Rashid Maidin telah melarikan diri dari tahanan dan bergabung dengan pasukan, saya diminta pergi ke Bentong untuk bertemu dengan Rashid dan bermesyuarat. Dengan itu saya dan beberapa pengawal pergi ke Bentong.

Di Bentong, Chen Ping, Rashid Maidin dan Musa sudah menunggu ketibaan saya. Dalam pertemuan yang amat mengharukan ini, kami berpelukan, masing-masing keluar air mata. Rashid menyimpan rambut dan jambang yang panjang. Kerana rupa Rashid yang luar biasa itu, Rosmah datang menemui saya dan bertanya: "Orang apa ini Bong". Rashid bernazar tak mahu bercukur selagi tidak bertemu saya. Dalam pertemuan inilah Rashid menunaikan niatnya mencukur janggut dan jambangnya yang panjang itu.

Masa itu kami masing-masing memakai nama samaran. Chen Ping memakai nama Ali manakala Rashid Maidin memakai nama Buana. Oleh itu tak ramai kawan mengetahui identiti mereka yang sebenarnya. Inilah pertemuan dengan Rashid Maidin setelah berpisah di Sekolah Parti Kem Se-Malaya pada tahun 1948, kira-kira 3 tahun.


Rashid Maidin Pulang ke Rejimen Ke-10


Selesai mesyuarat, saya dan Rashid Maidin pulang ke Rejimen Ke-10, Musa tinggal di Bentong memimpin kerja bahagian propaganda di situ. Pada masa itu Pejabat Penerbitan juga telah dipindahkan ke Bentong.

    Kepulangan Rashid Maidin ke Rejimen Ke-10 ibarat ikan pulang ke lubuk, mempunyai erti besar bagi pasukan. Oleh itu kami mengadakan sambutan yang luar biasa untuk menyambut beliau dan merayakan kemenangan beliau melepaskan diri dari penjara.

    Ketika inilah saya secara rasmi membentuk pejabat Markas Besar Rejimen Ke-10 di Semantan. Jadi perayaan kami menjadi lebih bererti lagi.  Untuk  memperbesar lagi anggota pasukan Markas Besar, saya menarik Platun 1 ke dalam pasukan Markas Besar. Kemudiannya beberapa orang kawan lagi juga dimasukkan ke dalam pasukan Markas Besar.  Antara mereka yang masih saya ingat ialah:

    1.    Duwi
    2.    Mat Noor
    3.    Dilu
    4.    Atom
    5.    Rejemah
    6.    Siti
    7.    Ismail
    8.    Bakar (Anuar)
    9.    Hatta
    10.  Rosmah
    11.  Latif
    12.  Sulaiman
    13.  Junit
    14.  Yassin
    15.  M. Ali
    16.  Nusi
    17.  Agus
    18.  Napi
    19.  Zam
    20.  Tuah
    21.  Asmat
    22.  Waiming
    23.  Tahir
    24.  Hamid
    25.  Madun
    26.  Jalil
    27.  Saudah
Junid @ Suti
Bagi Rashid Maidin pula, saya mengatur 3 orang kawan iaitu Junit, Alok dan Ishak sebagai pengawalnya. Untuk beberapa hari Rashid Maidin memberikan ceramah-ceramah kepada kawan-kawan. Sejak itulah Rashid Maidin ikut sama-sama memberikan sumbangan dalam memimpin dan membangun pasukan. 

Selepas itu, Rashid Maidin bersama pengawalnya datang ke ladang kami di Kuala Krau. Unit produksi di situ mengadakan perayaan menyambutnya. Dalam ucapannya Rashid Maidin memberikan arahan-arahan baru untuk mempermaju kerja produksi. Beliau menjadikan ladang itu sebagai markasnya untuk menjalankan kerja menyusun massa di kampung-kampung kawasan Kuala Krau.

Akan tetapi keadaan masa itu memang kusut. Massa rakyat sudah dipindahkan ke dalam kem  kurungan. Pada suatu hari, ketika Rashid Maidin dan pengawalnya keluar ke kampung untuk menemui orang ramai, mereka diserang oleh sepasukan AP reaksioner. Maka berlakulah pertempuran yang sengit. Mereka melepaskan tembakan balas sehingga pasukan AP itu lari bertempiaran. Dalam pertempuran itu Rashid Maidin cedera terkena tembakan. Kawan-kawan   membawanya balik untuk menerima rawatan.

Rashid Maidin Pimpin Pekerjaan di Perak


Pada akhir tahun 1952, Chen Ping menjemput saya dan Rashid Maidin bermesyuarat dengannya di kawasan Teras iaitu antara Bentong dan Raub. Ketika itu Rashid Maidin cedera di kaki dalam pertempuran di Kuala Krau. Namun semangatnya tinggi. Beliau berpapah pergi menghadiri mesyuarat. Musa Ahmad sudah  bertolak ke Pahang Utara, maka itu dia tidak ikut serta dalam perbincangan kali ini.

Dalam perbincangan itu Chen Ping menyimpulkan bahawa Rejimen Ke-10 masih utuh. Beliau menyebutkan Rejimen Ke-10 di Temerloh, Pahang Timur dan Pahang Barat tetap utuh dan mantap, sokongan massa Melayu dan Orang Asli masih teguh, pasukan Melayu bahagian Selangor dan Negeri Sembilan juga masih utuh.

Kerana syarat-syarat tersebut, Chen Ping bersama kami merangka untuk mendirikan batalion Rejimen Ke-10. Mengikut kajian kami boleh mendirikan 3 batalion, iaitu satu di Pahang, satu di Selangor dan Negeri Sembilan dan satu lagi di Johor. Saya akan    menjadi panglima untuk kesemua batalion tersebut.

Dalam mesyuarat itu juga Chen Ping memberitahu rancangan untuk mendirikan 2 badan untuk mengarahkan perjuangan iaitu Dewan Sentral Komiti Selatan Malaya (DCCSM) dan Dewan Sentral Komiti Utara Malaya (DCCUM).

Sementara itu, Chen Ping memutuskan Rashid Maidin memimpin kerja bahagian Melayu di Perak dan kerja penerbitan. Musa Ahmad pula diputuskan bergerak di Pahang Utara.

Selepas mesyuarat itu, Rashid Maidin dan beberapa orang pengawalnya bertolak ke Perak bersama rombongan utusan. Di Perak mereka bergabung dengan Rejimen Ke-5. Dalam Rejimen Ke-5 terdapat 1 platun khas kawan India.

Dalam pada itu Musa Ahmad bersama 1 platun bergerak ke Pahang Utara bergabung dengan Rejimen Ke-11. Saya menghantar sejumlah kawan-kawan dari Platun 3 yang pada umumnya terdiri dari kawan-kawan yang datang dari Johor ke dalam regu Musa Ahmad. Dengan ini kekuatan mereka agak besar juga. Kawan-kawan itu terdiri dari 26 orang kawan, antaranya ialah:
    1.    Ani
    2.    Asmara
    3.    Razali
    4.    Said
    5.    Robi
    6.    Rokes
    7.    Malik
    8.    Khalil
    9.    Musbah
    10.  Adam
    11.  Rayuan
    12.  Karim
    13.  Samsiah
    14.  Minah
    15.  Jamaluddin
    16.  Salim
    17.  Bomo
    18.  Awang Nong
    19.  Yaman
    20.  Sukur
    21.  Nasir
    22.  Darus
    23.  Mamat
    24.  Pak Ngah
    25.  Aida

Di Kampung Lamai, Pahang Utara terdapat ramai lasykar rakyat. Mereka mempertahankan kampung halaman mereka dan menentang gerakan pindah paksa yang dipaksakan penjajah British. Walau bagaimanapun British dengan keras memaksa mereka. Akhirnya tinggal wanita mempertahankan kampung halaman mereka.

Setelah Rashid dan Musa bertolak, saya pun balik ke Markas Besar di Semantan. Dalam masa yang singkat itu situasi berubah secara mendadak. Ketua Platun 5, Manap terkorban di Pahang Timur. Sebelumnya, keadaan di Platun 5 agak mantap kerana Battalion African Rifles yang dulu ditugaskan di Temerloh dihantar ke Pahang Timur. Pasukan ini bersimpati kepada perjuangan bersenjata. Akan tetapi sehingga penghujung tahun 1952, pasukan ini ditarik balik ke Kenya dan diganti dengan Batalion Askar Gurkha. Manap, yang belum mengetahui hal itu seorang diri keluar ke kampung menemui massa. Hari pertama askar Gurkha itu sampai, mereka telah melakukan penggeledahan di kampung-kampung. Ketika itu Manap bersama orang ramai berada di kedai kopi. Bila nampak Manap seorang diri, askar Gurkha telah menyerangnya. Manap melakukan pertempuran dengan gagah berani. Dalam pertempuran itu beliau telah gugur dengan perwira. Ketika menghembuskan nafas terakhir, muncung senapangnya masih mengeluarkan asap.

Selain itu, di Selangor, Ismail anggota peringkat Negeri JKM menyerah diri. Di Johor Mat Indera tertangkap dan dihukum gantung. Selain itu kader-kader penting lain juga terkorban. Kadir Murei’ih terkorban terkena racun dari pengkhianat, manakala Atan Karim terkorban dalam pertempuran. Ini  menyebabkan kawan-kawan menderita kerugian berat.

Sumber: Memoir Abdullah C.D.
siaran terkait: http://matamin02.blogspot.com/2010/01/rashid-maidin-melepaskan-diri-dari.html

Ahad, 23 Mac 2014

SAYA DITANGKAP ATAS TUDUHAN KOMUNIS - RASHID MAIDIN

0 ulasan
Rashid Maidin
Dalam Kem Tahanan, 1948-52

Waktu itu kira-kira  penghujung  Jun 1948, darurat sudah diisytiharkan, tapi saya sendiri pun tak terbayang begitu cepatnya darurat diisytiharkan dan begitu kejamnya tindakan penjajah British. Isteri saya yang ketika itu sedang sakit merasa sesuatu perkara yang tak diingini akan berlaku ke atas saya. 
Utusan yang ditunggu-tunggu tidak kunjung datang, tetapi yang datang ialah satu seksyen polis yang dipandu oleh seorang intelijen  Melayu  dengan membawa surat saman untuk menggiring saya ke balai polis. Sebelum meninggalkan rumah,  saya memberitahu isteri dan membariskan anak-anak saya  (tiga orang) lalu mencium mereka. Saya berjanji dengan mereka, “Esok ayah akan pulang.” Saya turun tangga di dalam tangisan anak-anak. Isteri saya pula menangis di dalam selimut. Itulah saat-saat terakhir saya bersama anak isteri.

Saya ditangkap atas tuduhan seorang komunis. Mula-mula ditahan di lokap Teluk Anson (sekarang Teluk Intan) kemudian dibawa pula ke penjara Taiping. Saya digari dengan seorang pemuda Tionghua yang tidak dikenali. Kami dibawa naik kereta api. Kebetulan pada masa itu saya terserempak dengan Aminuddin Baki yang dalam perjalanan balik ke Chemor dari persekolahannya di Singapura. Saya nampak dia menjadi serba salah dan gelabah. “Bung Rashid kena tangkap?” Dia berkata sambil menggeleng-gelengkan kepala. Seterusnya dia menyambung kata, “Bung jangan bimbang, mesti teguh, jangan goyang.” Saya menjawab, “Tak goyang.”

Sebelum berpisah kami bersalaman. Dia memberikan sebuah majalah Inggeris yang sedang dibacanya serta wang seringgit. Saya menolak, tapi dia menyatakan mungkin ada gunanya.
Aminuddin Baki masa itu di bawah pengaruh PKMM dan API. Waktu sebelum darurat dia selalu pergi ke pejabat PKM di Ipoh menemui saya dan Abdullah C.D. Dia menyatakan hasratnya meminta kami membantunya belajar ke Indonesia. Akan tetapi sayang waktu itu rakyat Indonesia sedang berjuang melawan penjajah Belanda. Dia terpaksa belajar ke Singapura. Kemudiannya, dia menjadi ketua penasihat pelajaran Tanah Melayu.

 Setelah tiga malam di lokap Taiping, barulah saya dibawa ke penjara. Di sana pakaian tidak disalin. Pakai pakaian sendiri sahaja, tapi makan dan lain-lain seperti dalam penjara. Nasi dicampur dengan ubi kayu atau keledek bersayur kangkung, ikan seminggu berjumpa sekali. Itu pun seketul kecil saja. Sekali makan diberikan semangkuk nasi serta sayur, tak ada tambahan. Sebelah pagi makan bubur nasi bercampur dedak dengan sedikit garam. Begitulah keadaannya di situ, lalu tak lalu, muak, puas pun terpaksa dikunyah juga kerana tiada pilihan lain lagi.

Setelah enam bulan kami di penjara Taiping, masuk pula kira-kira 50 orang banduan lain termasuk Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Cikgu Sabrun, Cikgu Sarip dan Osman Bakar dari Perak, Cikgu Mat Din dari Kedah dan lain-lain, ada yang datang dari Pahang, Johor, ada orang PKMM, PETA, BTM, Kesatuan Buruh dan lain-lain. Ada Melayu, Cina dan India diiring ke Kem Tahanan Pulau Jerjak. Dalam kumpulan kami itu boleh dikatakan Cina dan Melayu hampir sama banyak. Kebanyakan pemuda masih dalam lingkungan belasan tahun atau awal 20-an. Dalam perjalanan, kami diikat dengan rantai panjang, seutas rantai diletakkan 10-12 orang dengan dikawal rapi oleh polis-polis Melayu, tapi super intendennya berbangsa Inggeris. Kami berjalan dengan mengheret rantai melalui bandar Taiping dan  disaksikan orang ramai, kemudian naik feri di Butterworth ke Pulau Jerjak.

Mengenai Soal Siasat

Yang anehnya tidak ada proses soal siasat pun dijalankan. Hanya ada satu kali seorang pegawai polis Cawangan Khas bernama Yunus dari Ipoh menemui saya dan bertanya saya – tidak banyak soal, agaknya untuk mengesahkan identiti saya sebagai Rashid bin Maidin. Agaknya juga pihak berkuasa penjajah British pun terlalu sibuk menangkap orang hingga tidak ada masa untuk memproses banduan-banduannya. Maklumlah pada malam pertama diisytiharkan darurat, 5,000 orang ditangkap dan ditahan. Itu satu malam sahaja. Kemudian dibuat tangkapan berturut-turut tiada hentinya.

Di Kem Tahanan Pulau Jerjak waktu itu terdapat kira-kira 500 orang banduan terdiri dari berbilang kaum yang ditempatkan di 7-8 buah bangsal besar. Setiap bangsal boleh menampung lebih kurang 100 orang. Makanan sama dengan jel Taiping, tetapi masak sendiri. Untuk memperbaiki kehidupan, kami bentuk komiti adakan mogok lapar menuntut dibenarkan beli makanan dari luar dan menerima barang-barang hantaran dari ahli keluarga. Komiti tersebut terdiri dari pelbagai kaum, bagi orang Melayu selain saya terdapat Osman Bakar, seorang anggota PKMM dari Tanjung Rambutan.

Pegawai penjara mungkin juga terasa malu dengan tindakan kami. Mereka kumpulkan kami dan mengugut bahawa kalau tak makan nanti salah. Kami mengatakan kami hanya menuntut sedikit kebebasan menerima hantaran dari rumah dan membeli barang-barang dari luar. Perkara itu patut diperbolehkan kepada banduan seperti kami.

Setelah lima hari mogok, tuntutan kami diterima. Kami dibenarkan membeli barang-barang dari kantin seminggu sekali dan menerima barang-barang hantaran dari keluarga. Dalam perbincangan dengan orang putih, penanggung jawab kem tahanan itu, saya tidak sabar dan berbalah dengannya. Dia mengherdik saya mengatakan saya tak hormat dan kasar kepadanya.

(dipetik dari Memoir Rashid Maidin)


Khamis, 20 Mac 2014

KUNJUNGAN RAKAN SEPERJUANGAN DARI KAMPUNG PERDAMAIAN BANLANG

0 ulasan
bergambar beramai-ramai dengan Kawan Abdullah C.D.

Pada 20 Mac 2014, sekumpulan rakan seperjuangan dari Ban Chulabhorn Patana 9, Banlang, Banang Star, Yala melawat Ban Chulabhorn 12, Sukhirin, Narathiwat.

KINI DAN SILAM difahamkan kunjungan singkat kawan-kawan ini untuk melepaskan rindu kepada satu-satunya pimpinan tertinggi yang masih ada iaitu Kawan Abdullah C.D. di samping menemui rakan seperjuangan yang lain.

Ban Chulabhorn Patana 9 adalah salah satu dari 4 buah kampung perdamaian yang didirikan mengikut persetujuan perdamaian Hadyai. Awalnya kampung ini dinamakan Kampung Perdamaian 1, tapi pihak tentera Thai menamakan sebagai Ban Rattana Kitti 1. Kemudian kampung ini diletakkan dibawah kelolaan Institute Penyelidikan Chulabhorn, dinamakan Ban Chulabhorn Patana 9. Walau bagaimanapun kawan-kawan di merata tempat masih menamakan kampung ini sebagai Kampung Perdamaian Banlang.

Beberapa kawan dari rombongan ini pernah berkhidmat dan hidup bersama dengan kawan-kawan di Rejimen Ke-10 untuk suatu masa tertentu.
dari kanan: K. Sutan, K. Hatta, K. Bintang

Kawan Sutan pernah datang ke Rejimen Ke-10 pada awal tahun 60-an dan menyertai Sekolah Parti Pertama Utara Malaya yang diadakan di Rejimen Ke-10 pada tahun 1962. Sekolah parti ini disertai oleh Pasukan Organ Khas, Rejimen Ke-12, Rejimen Ke-8, Pasukan Kawasan Khas dan Rejimen Ke-10. Rejimen Ke-10 telah menjadi tuan rumah menanggung segala keperluan sekolah parti tersebut.

Kawan Bintang pernah datang ke Rejimen Ke-10 pada awal tahun 1970-an. Beliau bertugas di bidang perkilangan di samping melakukan kerja2 lain seperti tugas tentera, membuat stor strategik, pekerjaan politik dalam platun, utusan dan lain2. Tugas pokok perkilangan ialah membuat dan membaiki senjata, membuat periuk api dan peralatan ketenteraan lainnya. Beliau meninggalkan Rejimen Ke-10 setelah penandatanganan Hadyai ditandatangani. Suaminya, Kawan Teguh telah meninggal di Kampung Perdamaian Banlang.
dari Kiri: K. Bintang, K. Abdullah C.D. dan K. Kisah
(klik sini)

Kawan Kisah datang ke Rejimen Ke-10 pada tahun2 70-an, berkhidmat sebagai seorang doktor di Rejimen Ke-10. Ketika Kawan Abdullah C.D. jatuh sakit terkena racun, beliau ikut mencurahkan bakti bersama para doktor yang lain. Beliau meninggalkan Rejimen Ke-10 pada akhir 70-an.
K. Usaha bersama K. Abdullah C.D.

Kawan Usaha adalah seorang perajurit yang tekun dan rajin berusaha. Beliau dan adiknya masuk pasukan melalui saluran bawah tanah dan dihantar ke Rejimen Ke-10. Beliau ikut serta dalam berbagai kerja, dalam pasukan juga sebagai penyusun massa. Kemudian beliau ditransfer ke pasukan sesaudara.

Kami kawan-kawan di Kampung Perdamaian Sukhirin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada rombongan kawan-kawan dari Kampung Perdamaian Banlang. Semoga Kampung Perdamaian Banlang sentiasa mencapai kekjayaan demi kejayaan dan semoga tali persahabatan rakan seperjuangan sekelas proletar kita kekal abadi.

melawat muzium

Sabtu, 15 Mac 2014

KENDURI PERKAHWINAN DAN PERSAHABATAN

0 ulasan

Berkat doa kawan-kawan dan rakan-rakan, akhirnya pada 8 Mac saya dan Pak Hatta bertolak dari Kampung Perdamaian menuju ke rumah Kawan Pilus di Padang Besar, Perlis sebagai wakil kawan-kawan di sini.  Perjalanan kami  di iringan doa selamat  dari Bapa Abdullah C.D. dan rakan-rakan yang lain. Kunjungan kami untuk menghadiri majlis perkahwinan anak Kawan Pilus dan menemui rakan2 dari Negeri Jelapang Padi yang sentiasa memanjatkan doa  untuk bersua muka dengan bekas perajurit Rejimen Ke-10.

Pilus @ Othman Puteh dan Embon @ Rokiah Yusof
Begitulah harapan perjalanan ini, semua sudah diprogramkan dengan rapi oleh Saudara Fadzil Baharum. Beliau rela meluangkan masa hanya untuk memastikan perjalanan kami lancar dan semua rancangan dapat dipenuhi.

Saudara Fadhil bersama anak lelakinya Arief Haiqal menjemput kami di perhentian bas Hadyai. Saudara Fadzil sudah banyak kali ke Kampung Perdamaian dan sudah menjadi rakan akrab warga kampung ini. Adik Haiqal juga sudah 3 kali datang dan sangat senang dengan layanan warga dan keadaan sekitarnya. Kami dibawa menaiki pick up menuju Padang Besar. Inilah kali pertama kami menjejakkan kaki ke sini.

Kira-kira pukul 5 petang, tibalah kami di rumah Kawan Pilus. Dari pintu pagar ternampak Kawan Pilus bersama isterinya Kawan Embon sedang duduk dihadapan rumah seolah-olah sedang menunggu ketibaan kami.
di rumah Kawan Pilus

Walaupun sudah lebih 20 tahun berpisah, tapi wajah kedua-dua rakan seperjuangan ini tidak banyak berubah.  Hati terasa amat bersyukur dan terharu melihat mereka masih sihat wal afiat. Saya terus masuk bersalam dan memeluk Kawan Pilus, diikuti oleh Pak Hatta yang menyusul di belakang. Adegan ini dirakam oleh Saudara Fadzil dan adik Arief Haiqal.

Sudah 9 tahun Kawan Pilus jatuh sakit dan tidak dapat bekerja, tangannya lemah, tenaga berkurangan, ditambah pula telinganya tidak sensitive, sukar mendengar perbualan dengan nyata, tapi ingatannya  masih baik.

Rumah Kawan Pilus agak sederhana, didirikan di atas sebidang tanah berukuran hampir 1 rai. Menurut beliau, dalam masa 3 tahun, kawan-kawan yang pulang ke Malaysia mendapat bantuan dari Kerajaan Malaysia sebagaimana dalam perjanjian perdamaian.  Wang bantuan yang disalurkan kepada beliau dan isterinya disatukan untuk membeli tanah tapak rumah ini.
dari kiri Abdul Hamid bin Mohd Ali, Derani  bin Abdullah dan Kawan Pilus)

Sedang kami berbual, datang 2 sosok yang agak sebaya dengan Kawan Pilus. Kami diperkenalkan bahawa seorang bernama Derani  bin Abdullah,  pernah menjadi guru dan seorang lagi Abdul Hamid bin Mohd Ali, pernah menjadi askar Melayu.  Alhamdulillah, rupanya pertemuan ini tidak hanya untuk rakan seperjuangan lama, tetapi juga untuk rakan yang pernah berlawanan satu masa lampau.  “Ah macam ni komeneh kena bersalam dengan askar dulu”, ujar ku. Kata-kata itu disambut dengan senyum lebar oleh Kawan Pilus dan Pak Hamid. Kedua-dua serentak menghulurkan tangan bersalaman dengan disaksikan oleh Pak Derani yang duduk ditengah2. Senyuman yang diberikan masing2  pihak menggambarkan keikhlasan mereka untuk melupakan sengketa lama dan membangun harapan baru. Saya  tidak melepaskan peluang merakan detik2 yang sangat mengharukan  ini.

Dalam suasana yang penuh bersahabat, masing2 bercerita pengalaman menarik mengharungi masa lampau yang sudahpun menjadi sejarah.

Selepas solat Isyak, upacara ijab Kabul diadakan di rumah Pak Pilus. Kami diberitahu bahawa di kampung ini,  upacara akad nikah biasanya diadakan di masjid, tetapi kerana dijadualkan pada waktu malam, upacara itu diadakan di rumah saja.

Majlis berlangsung dengan lancar, semua menadah tangan berdoa semoga kedua-dua pengantin mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat dan kedua-dua keluarga yang disatukan melalui perkahwinan ini menjadi sebuah keluarga besar yang rukun damai.
Sdri Fadzilah dan suaminya Mohd Hasufi di jinjang pelalmin

9 Mac, hari berlangsungnya jadual kenduri perkahwinan.  Majlisnya sederhana, dijemput kira2  500 orang saja, terdiri dari kaum keluarga, sahabat handai dan jiran2 yang berdekatan. Saya merancang untuk terus mencungkil rahsia perjuangan kawan Pilus semasa mudanya, tetapi malangnya beliau terasa pening kerana sebelah malamnya terlewat tidur. Jadi rancangan ini terpaksa dibatalkan.

Di suatu sudut ada suatu sosok setengah baya sedang membuat persiapan. Saya mendekati dan bersalaman. Saya memulakan bicara dengan memberitahu saya dari Thailand, datang utuk menghadiri kenduri  rakan yang sudah lama berpisah.

Dalam bahasa loghat Kedah, beliau menjelaskan dia dijemput menjadi tukang masak untuk majlis ini. Beliau adalah Chef Yusof bin Din.

 Chef Yusof bin Din
“Dari mana dapat pengalaman ini?” Tanya saya untuk mengetahui. Dia bercerita: “saya belajar memasak dan lulus sebagai Chef semasa menjadi angkatan tentera  Malaysia.” Beliau pernah berkhidmat selama 15 tahun di Rejimen Sempadan 305 Infantri.

Wah, satu lagi keistimewaan, kawan dan lawan lama bersatu menumpahkan tenaga dalam suatu majlis.

Perbualan kami terhenti dengan tibaan sebuah pick up. Terdengar satu suara menyebut  “Taukeh Cina datang”.  Nampak seorang Cina keluar dengan membawa sejumlah barang. Dia bersuara “mari angkat, ada manyak balang”.

Saya memohon diri dengan Chef Yusof untuk membantu.  Separuh pick up dipenuhi dengan barang2 dapur  yang dihadiahkannya untuk majlis tersebut. Setelah barang2 dikeluarkan pick up itupun beredar.

 Agak lama menunggu, kelibat  taukeh Cina itu tidak kelihatan. “Cuba pergi tengok kalau dia tidur di dalalm kereta”,  Pak Pilus besuara. Sedang saya menuju ke keretanya, seorang perempuan memberitahu “Taukeh itu tidak di kereta, nun di dapur sedang mengajar memasak mee.

Kira-kira pukul 11 pagi, beberapa buah kereta tiba. Semuanya Cina. Kawan Embon bergegas ke pintu pagar menyambut. Kelihatan Kawan Embon berpelukan dengan kaum wanita dari rombongan tersebut.

Kawan2 Persatuan Persahabatan Abad Ke-21
Kawan Leman @ Sugar

Saya terdengar bisik-bisik orang ramai di bekang “itu rakan mereka”.  Orang ramai yang sedang berada di situ kelihatan sedikit kehairanan dengan kedatangan rombongan kawan-kawan Cina itu.

Sekejap saya juga ke depan menyambut  kawan-kawan Cina yang baru tiba itu. Biasala, lama tak jumpa, bila bertemu amat gembira rasanya lalu kami berpelukan. Mereka adalah kawan-kawan yang pulang ke tanah air mengikut perjanjian perdamaian Hadyai 1989 dari Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia, ada yang datang dari Ipoh, Kuala Lumpur dan tempat2 lain. Mereka berkumpul dan datang dalam satu rombongan.

Saya ke belakang menjelaskan kepada beberapa orang rakan yang baru dikenali. “Mereka adalah kawan saya. Kami pernah bersama-sama dahulu.  Seorang dari rakan itu mencelah “Orang Cina ini mementingkan persahabatan, sudah bertongkat pun datang kenduri lagi”.  Seorang rakan pula mencelah, “memanglah orang Cina saling tolong menolong antara satu sama lain”.

Seorang rakan dari Kelantan yang baru dikenali datang kepada saya minta untuk bergambar bersama dengan kawan-kawan Cina. Saya mengangguk sambil menjawab “boleh”.

Sekejap saja satu barisan sudah diatur, beberapa kamera merakam gambar.
bergambar bersama kawan2 Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia

Dalam suasana ramai itu, Kawan Sihai dari Persatuan Abad Ke-21 memegang tangan taukeh Cina yang telah dijelaskan di atas sambil memberitahu, “Ini kawan kita dari bawah tanah, pernah ikut dalam Barisan Sosialis”. Mendengar penjelasan itu saya sangat terharu dan menghulurkan tangan bersalaman dan bergambar untuk kenang-kenangan.

Lebih kurang pukul 2 petang, kawan-kawan dari Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia memohon diri untuk pulang. Mereka sekali lagi bersalam dengan Kawan Pilus dan Kawan Embon sambil menghulurkan sampul merah. 

Saya dan Pak Hatta juga ikut bersalam dengan mereka. Sekejap Kawan Si Hai bertanya “Berapa orang kawan Melayu datang dari Sukhirin?”.  “Dua”, saya menjawab ringkas. Kawan Sihai menghulurkan sebungkus barang2 kepada saya sambil berkata “Ini buah tangan kami kepada 2 kawan yang datang dari Sukhirin.  Saya menerima barangan itu sambil mengucapkan terima kasih dan selamat jalan.

Kereta mereka bergerak perlahan dalam iringan lambaian tangan selamat jalan.

Menemui Rakan2 di Negeri Jelapang Padi

Kira-kira pukul 2 petang, Saudara Fadzil dan adik Arief Haiqal datang menghadiri jamuan. Saudara Fadzil sudah beberapa kali berkunjung ke rumah itu untuk mencungkil rahsia di sebalik perjuangan Kawan Pilus dan Kawan Embon yang pernah berlangsung puluhan tahun.

Kira-kira pukul 3 petang, saya meminta diri untuk bersama Saudara Fadzil bertolak ke Kedah bagi memenuhi  jadual yang sudah disiapkan.
bersama Arief Haiqal dan adik perempuannya

Bersama Saudara Fadzil dan isterinya
Saudara Fadzil membawa saya dan Pak Hatta ke rumahnya di Kepala Batas. Rumahnya agak cantik dan sederha. Di halaman depan dihiasi dengan tanaman bunga dan sayur-sayuran. Di sisi kanan terdapat sebidang sawah yang luas saujana. Angin yang sentiasa bertiup terasa seolah-olah sedang berada di tepi pantai. Isterinya baru menimang cahaya mata, seorang anak lelaki. Saya menghulurkan hadiah kiriman dari rakan2 di Sukhirin dengan harapan bila besar nanti menjadi seorang pejuang membela keadilan, kebenaran.

Begitulah kami bermalam di Negeri Jelapang Padi melepaskan penat dengan nyenyaknya.
10 Mac, Saudara Fadzil membawa kami  berjalan-jalan ke Alor Star dan tempat2 lain.

Sebelah petang, sampailah masa untuk berjumpa dengan rakan-rakan di situ. Tiba2 Pakteh Aris menalipon jemput kami datang ke rumahnya. Tiba di depan pintu, Pakteh dengan senyum lebar keluar menyambut kami sementara Makteh menyediakan jamuan ringan.
di rumah Pakteh Aris

Pakteh Aris menghidangkan jamuan ringan

Makteh sudah lama ingin melihat apa yang dikatakan komunis Melayu, tetapi tak pernah kesampaian.

Selepas Maghrib, kami dibawa kesebuah restoran di Kuala Kedah. Ustas Mod, Saudara Fuad dan beberapa rakan lagi datang berkumpul di situ. Di sinilah kami berkenalan, berborak, bertukar pengalaman dengan rakan-rakan Kedah sambil menikmati ikan bakar dan lain2. Mengikut jadual asal, serombongan rakan-rakan dari Pulau Pinang akan ikut serta, tetapi kerana sebab2 tertentu mereka tidak dapat datang.


Setelah larut malam, tibalah masanya untuk berpisah. Sambil bersalaman, Pakteh memasukkan sesuatu dalam saku baju. Saya faham, ini sebuah keikhlasan dari Pakteh.

Malam itu, sekali lagi saya dan Pak Hatta menjadi tetamu Saudara Fadzil. Besoknya kami akan bertolak pulang. Pada malam yang syahdu itu, Fadzil menyerahkan wang tunai RM700 untuk di sampaikan kepada Masjid Darul Aman.

11 Mac pagi,  Saudara Fadzil membawa kami ke sebuah restoran di Bukit Kayu Hitam untuk menjamu selera kemudian terus ke Danok. Sebelum berpisah, Saudara Fadzil menghulurkan wang dan berkata “ini untuk kegunaan dalam perjalanan”.  Terima kasih Saudara Fadzil dan keluarga rakan-rakan Kedah yang sudah bersusah payah melayani kami.

Begitu mesra layanan rakan-rakan, tidak sedikit masa tenaga dan wang dihabiskan. Apapun saya cukup memahami bahawa ini bukanlah layanan peribadi, ini adalah sebuah penghormatan ke atas suatu perjuangan besar yang sudahpun menjadi sejarah.



Khamis, 6 Februari 2014

RINGKASAN PERJALANAN HIDUP BEKAS KETUA AWAS PAHANG DAN BEKAS KOMANDER REJIMEN KE-10 SITI NORKIAH MAHMOOD BAGINDA

0 ulasan
Siti Norkiah @ Kawan Minah
Siti Norkiah Mahmood Baginda adalah seorang pejuang kemerdekaan tanah air yang teguh. Setengah abad dari usianya disumbangkan kepada usaha kemerdekaan tanah air. Pembaktian terakhir beliau ialah dengan menyertai perjuangan bersenjata untuk kemerdekaan dan pembebasan tanah air bersama Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya selama 40 tahun.

Jiwa beliau adalah jiwa anti pejajahan. Nenek moyangnya pernah ikut serta dalam perang Bahaman menentang penjajah British di Pahang.

laporan riwayat hidup kepada organisasi parti
Siti Norkiah dilahirkan di Kampung Sempalit Luar, pinggir Banda Raub. Mengikut catatan tangan beliau yang dibuat pada tahun 1963 menyebut “masuk dalam revolusi umur  26 tahun". Menyertai revolusi bererti memasuki perjuangan bersenjata, juga membawa makna tahun 1948. Mengikut pengertian ini beliau dilahirkan pada tahun 1922. (Kini dan Silam berpendapat catatan tangan ini lebih tepat memandangkan ia ditulis pada masa ingatan beliau masih baik dan catatan ini merupakan laporan rasmi peribadi beliau kepada organisasi PKM.)

1946, menyertai gerakan Awas (Angkatan Wanita Sedar), kemudian dipilih menjadi Ketua Awas Pahang. Awas adalah sayap wanita PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya).

1948, Inggeris istiharkan darurat, beliau disenaraihitamkan. Beliau lalu bergerila seorang diri di dalam hutan belukar.

Pertengahan 1949 - menyertai pasukan gerila bergabung dengan sebuah pasukan gerila tentera Pembebasan China.

1950, bergabung dalam Platun 3 Rejimen Ke-10 di bawah pimpinan Alang Kassim.

1952, bergabung dengan satu unit rejimen Ke-10 di bawah pimpinan Musa Ahmad bergerak di kawasan Benta dan kemudiannya bergabung dengan Rejimen Ke-11 di kawasan Jerkoh.

1953, Pasukan Hang Jebat Rejimen Ke-10 di bawah Abdullah C.D. tiba di perkhemahan Rejimen Ke-11 dalam rangka perjalanan jauh ke utara. Regu yang dianggotai Siti Norkiah bergabung dengan pasukan Rejimen Ke-10 dan menyertai perjalanan bersejarah pasukan tersebut.

Oktober 1954, tiba di kawasan sempadan Thai Malaysia.

Di kawasan sempadan beliau memimpin regu penyusun massa membangkitkan kesedaran kaum tani Melayu dan mendirikan kawasan basis rejimen Ke-10 . Banyak kampung2 Melayu di kawasan sempadan telah disusun menjadi basis revolusi. Di kalangan massa, beliau sangat disayangi rakyat. Mereka memanggil beliau dengan Makcik Sarifah.
bergambar bersama Chin Peng dan suaminya Abu Samah

1958 berkahwin dengan Abu Samah Mohd Kassim, cicit sepupu Datuk Bahaman yang juga seorang komander Rejiemen Ke—10, anggota Markas Besar Rejimen Ke-10 dan tak lama selepas itu dipilih sebagai anggota CC PKM.

1969 – 1976 beliau berturut-turut menyertai 3 kali pasukan penggempur Rejimen Ke-10 bergerak ke Malaya. Pasukan Propaganda Khas (1969) Pasukan Platun Merdeka (1970-1972, dan Pasukan penggempur Ke-14 (1973-1976) yang kesemuanya dipimpin oleh Abu Samah Mohd Kassim. Tugas utama pasukan penggempur ialah memulihkan basis lama dan membangun basis baru di tanah air.

Mulai tahun 1976 beliau bertugas dalam pasukan organ Rejimen Ke-10 terutama memimpin bahagian wanita dan bahagian logistik sebagai salah seorang anggota dalam badan pengarah Kompeni Ke-21 Rejimen Ke-10.
kenangan semasa perundingan tingkat rendah di Pulau Pinang

1988 pernah ikut serta dalam perundingan tingkat rendah pusingan kedua di Pulau Pinang pada 10-11 Ogos 1988 dan pusingan ketiga pada 22-23 Oktober 1988 di Hadyai sebagai anggota rombongan Rejimen Ke—10 dan Abdullah C.D.

Disember 1989 perjuangan bersenjata ditamatkan, Rejimen ke-10 dibubarkan melalui suatu perjanjian damai yang ditandangani oleh Kerajaan Malayasia, Kerajaan Diraja Thailand dan Parti Komunis Malaya. Siti Norkiah dan suaminya Abu Samah Mohd. Kassim memilih untuk tinggal di Selatan Thai bersama rakan seperjuangan yang lain di sebuah kampung khas yang dibangun khas oleh Kerajaan Thailand untuk bekas perajurit Rejimen Ke-10 yang kini dikenali dengan Kampung Perdamaian Sukhirin atau secara rasminya Ban Chulabhorn Patana 12.

1999 beliau bersama suami menunaikan fardhu Haji. Ikut bersama ialah Abdullah C.D dan arwah isterinya Suriani.

Setelah perdamaian beliau dan suaminya beberapa kali pulang ke tanah air mengunjungi kaum keluarga, antaranya 2002 berkunjung ke Istana Pahang dan bertemu dengan Tengku Mahkota Pahang, 2006 bertemu dengan Datuk Seri Najib yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri.

7 April 2009, hari paling duka bagi bagi beliau, suaminya Abu Samah Mohd Kassim meninggal dunia. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Golok, Narathiwat. Sejak itu beliau hidup dengan ditemani oleh rakan2 seperjuangan. Satu keluarga bekas perajurit secara ikhlas tinggal bersama beliau untuk menjaga dan memberikan perhatian kepadanya. (http://matamin02backup.blogspot.com/2009/08/alfatihah-buat-pak-abu-samah-mohd.html)

Pada 4 Februari 2014 beliau pulang ke rahmatullah dengan tenang di rumahnya di Kampung Perdamaian Sukhirin dalam usia 92 tahun. Jenazahnya telah disemadikan di tanah perkuburan Islam Sungai Golok, berdekatan dengan pusara suaminya Abu Samah Mohd Kassim. Pengebumian itu turut disaksikan oleh adiknya Haji Mokhtar Mahmood Baginda dan kaum keluarga yang lain serta rakan2 seperjuangan dari Kampung Perdamaian Sukhirin.


Rabu, 5 Februari 2014

MENGIRINGI PEMERGIAN SERIKANDI TERPUJI SUNGAI PAHANG, SITI NORKIAH MAHMOOD BAGINDA

5 ulasan


Selepas solat Subuh 5 Februari 2014, warga kampung perdamaian Sukhirin berkumpul di perkarangan kediaman RUMAH SEJARAH ABU SAMAH MOHD KASSIM untuk menghantar jenazah Siti Norkiah Mahmood Baginda yang telah pulang ke rahmatulla pada 4.45 petang 4 Februari.

Selesai solat jenazah di Masjid Darul Aman, sekumpulan rakan seperjuangan menaiki 5 buah kereta menghantar jenazah Allahyarhamah ke tanah perkuburan Sungai Golok untuk disemadikan berdekatan dengan pusara arwah suaminya, Abu Samah Mohd. Kassim.

Setibanya kereta jenazah dan rakan seperjuangan di tanah perkuburan tersebut, adik Allahyarhamah, Haji Mokhtar bersama kaum keluarga yang lain telah sedia menunggu. Upacara pengebumian dilangsungkah dengan penuh khidmat.

Bagi rakan seperjuangan di Kampung Perdamaian, ucapara tahlil untuk memperingati arwah dan memanjat doa akan diadakan di kampung perdamaian, semoga Allahyarhamah diletakkan di kalangan orang2 yang beriman.





Allahyarhamah adalah bekas Ketua Awas Pahang dan bekas anggota Badan Pengarah Kompeni Ke-21 Rejimen Ke-10. Beliau meninggal dunia pada pada 4.45 petang, 4 Februari 2014 di kediamannya di Kampung Perdamaian Sukhirin atau Ban Chulabhorn Patana 12.

Berikut adalah pilihan gambar2 upacara pemakaman Serikandi Siti Norkiah
solat jenazah di Masjid Darul Aman Kampung Perdamaian

perpisahan terakhir dengan kampung perdamaian




Haji Mokhtar melihat jenazah kakaknya


pusara Allahyarham Abu Samah


di tanah perkuburan Sungai Golok

REJIMEN KE-10 TRM